Saturday 21 April 2012

Program Bengkel Hak Asasi Dan Out-Reach Pendidikan Untuk Orang Asli



Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah mengadakan pelbagai program untuk memartabatkan hak Orang Asal di Malaysia. Ini termasuklah bengkel mengenai hak Orang Asal terhadap tanah adat, lawatan ke perkampungan Orang Asli serta kem hak asasi untuk remaja Orang Asli. Selain itu, SUHAKAM turut memainkan peranan mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan melalui isu-isu Orang Asli sebagai salah satu strategi untuk menarik perhatian pihak berkuasa mengenai masalah komuniti ini seterusnya bersama-sama mencari jalan penyelesaiannya.

SUHAKAM akam meneruskan usaha untuk merapatkan jurang dalam pencapaian pendidikan Orang Asli berbanding kanak-kanak di arus perdana. Seterusnya SUHAKAM juga akan terus berusaha untuk menyedarkan masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan pendidikan sebagai salah satu dari hak asasi manusia sepertimana yang terkandung di dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak dan Deklarasi Hak Orang Asal.

Oleh yang demikian, SUHAKAM merancang untuk mengadakan program kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi ibu bapa Orang Asli dengan menggunakan hak asasi manusia sebagai asas program tersebut. Bahkan, SUHAKAM berharap agar melalui program ini, masyarakat Orang Asli dapat menyumbangkan pandangan mereka ke arah menambahbaik kualiti pendidikan kanak-kanak Orang Asli agar selaras dengan latarbelakang budaya dan cara hidup mereka, ini diharapkan dapat menangani isu keciciran kanak-kanak Orang Asli dari persekolahan. Input yang diperolehi dapat dikongsi bersama Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan agensi-agensi lain supaya dapat dikaji serta merealisasikan ke dalam sistem pendidikan yang sedia ada.

Objektif program ini adalah untuk :-
1. Meningkatkan kefahaman ibu-bapa di dalam masyarakat Orang Asli mengenai hak kanak-kanak terhadap pendidikan.
   
2. Meningkatkan motivasi ibu-bapa di dalam masyarakat Orang Asli agar memastikan anak mereka tidak tercicir dari persekolahan.
   
3. Mendapatkan input serta pandangan daripada ibu-bapa Orang Asli tentang corak pendidikan yang sesuai untuk anak mereka serta selaras dengan latar belakang budaya dan cara hidup Orang Asli.

No comments:

Post a Comment